Sunday 21 August 2011

Latar Belakang



Bermula 06 Januari 2001, Yayasan Al-Falah telah menubuhkan sebuah institusi pendidikan yang bernama Sekolah Agama Rakyat Al-Falah dengan nombor pendaftaran JHEAINS 5 : 200-0/12/97. Sekolah Agama Rakyat Al-Falah adalah sebuah institusi pendidikan yang menerapkan moral Islam sebagai dasarnya. Ia tumbuh dan berkembang di tengah-tengah tradisi masyarakat dan terus berusaha menanamkan pemahaman ilmu penghayatan serta pengalaman dalam ajaran agama Islam. Dewasa ini, kedudukan Sekolah Agama Rakyat Al-Falah (SAR Al-Falah) terus diperhatikan dan dikembangkan, agar memenuhi keperluan pembelajaran dan pendidikan anak bangsa. Bantuan daripada pelbagai pihak secara langsung ataupun tidak langsung telah menghasilkan sebuah institusi pendidikan yang banyak membantu dalam proses mencerdaskan dan melahirkan ummah yang bertamadun.

Dalam rangka pengembangan yang mengacu dalam prinsip “hidup sekali, hiduplah yang bererti”, maka Sekolah Agama Rakyat Al-Falah sentiasa memelihara tradisi dan nilai-nilai dasarnya. Sekolah Agama Rakyat Al-Falah dengan sistem yang dimilikinya, memiliki lima jiwa dan motto yang menjadi acuan untuk terus berkembang. Lima jiwa Sekolah Agama Rakyat Al-Falah adalah Ikhlas, Bersungguh-sungguh, Kerjasama, Disiplin, Berdikari. Manakala mottonya adalah “hidup sekali, hiduplah yang bererti”.

SAR Al-Falah memulakan operasi pembelajaran di salah sebuah masjid yang terletak di Kampung Jawa, Tawau iaitu Masjid Al-Munawwarah. Bermula dengan hanya 7 orang murid dan 2 orang tenaga pengajar sahaja pada awalnya. Almarhum Ustaz Mohd. Tahrir Bin Zaini Siri merupakan Guru Besar pertama yang telah memimpin dan memacu SAR AL-Falah. Pertambahan murid berlaku dari tahun ke tahun memaksa SAR Al-Falah untuk memiliki bangunan sendiri dalam usaha untuk memenuhi keperluan pembelajaran. Pada tahun 2003, SAR Al-Falah telah berpindah daripada Masjid Al-Munawwarah dan menempati sebuah rumah sewa yang terletak di Taman Ria 3 dengan kos sewa RM 500.00 sebulan sebagai tempat pembelajaran sementara.

Pada tahun 2005, SAR Al-Falah telah berjaya menempati bangunan sendiri di atas tanah Yayasan Al-Falah seluas 1.4 ekar di Kampung Tanjung Batu Darat Tawau. Pembinaan telah dimulakan sejak 10 Oktober 2004 dan menghasilkan sebuah blok bangunan yang mempunyai 3 bilik darjah, 1 bilik rehat serta sebuah bilik guru yang mampu menampung 7 orang guru dalam satu masa.

Kampung Tanjung Batu Darat Tawau adalah sebuah kawasan yang terletak lebih kurang 5 km ke arah utara daripada pusat bandar Tawau. Pada saat itu, Kampung Tanjung Batu Darat Tawau merupakan kawasan perkampungan padat yang telah dihuni oleh berbagai kaum dan bangsa. Manakala SAR AL-Falah Tawau terletak di tengah kawasan perkampungan tersebut. Penduduk setempat amat menyokong penuh atas pembinaan sekolah di kampung tersebut dengan harapan dapat membentuk masyarakat ke arah kehidupan yang islami dan sebagai langkah pertama bagi melahirkan generasi pewaris ulama.